
"Jika seorang perempuan khuatir suaminya akan nusyuz atau sikap tidak acuh, maka keduanya dapat mengadakan perdamaian yang sebenarnya, dan perdamaian itu lebih baik (bagi mereka)....."
Kerap kita dengar bahan mulut orang-orang di sekeliling kita mempersoalkan tentang isteri yang nusyuz. Namun, di sini saya ingin mengetengahkan tentang para suami yang dianggap nusyuz. Allah telah menyatakan dengan terang dalam surah An-nisa ayat 128 mengenai masalah ini.
Imam Syafi'i berkata, "Diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bermaksud untuk menceraikan salah seorang isterinya. Isteri beliau berkata, "Jangan ceraikan aku. Biarkan aku dibangkit oleh Allah s.w.t sebagai isterimu. Sungguh, aku memberikan hari giliranku untuk saudariku, Aisyah r.a.”
Apabila seorang suami mula menunjukkan rasa kurang senang kepada isterinya, adalah lebih baik jika isteri mengambil langkah untuk mencari jalan penyelesaian. Jika masalah itu berpunca daripada diri isteri sendiri seperti telah tua, tidak dapat mengurniakan anak atau sebagainya, maka isteri boleh mengalah dengan melepaskan suami dari memenuhi hak zahir atau batin isterinya. Salah satu isteri nabi sendiri telah memberikan hak gilirannya kepada Saiyidatina Aisyah ketika Rasul mahu menceraikannya.
Mungkin sebahagian para isteri akan menjadi kurang senang akan jalan penyelesaian ini. Mungkin ada juga yang berpendapat bahawa keadaan akan lebih keruh lagi jika suami tidak lagi menjalankan tanggungjawabnya. Mereka merasakan seakan-akan mereka tertindas. Tidak dinafikan manusia itu dijadikan dengan sifat kikir. Mereka akan mempertahankan apa yang dianggap sebagai hak mereka. Dari itu, tidak mudah bagi isteri mahupun suami, mengambil langkah bertolak ansur dalam masalah sebegini. Kebanyakan pasangan dewasa ini lebih cenderung memilih untuk bercerai dengan alasan ‘tidak sehaluan lagi’.
Allah s.w.t menghalalkan perceraian. Namun, Dia juga membencinya. Oleh itu, Islam menggalakkan pasangan suami isteri untuk berusaha mencari jalan penyelesaian jika terdapat masalah. Sungguhpun tidak mudah untuk mendapat keredhanNya dari jalan ini, kita sebagai orang Muslim percaya bahawa setiap pengorbanan seorang hambaNya tidak akan terlepas dari perkiraanNya.
No comments:
Post a Comment